Menulis untuk membawa damai bukan bermakna kita perlu sentiasa bercakap tentang perkara yang manis-manis sahaja.
Sebagai wartawan, saya pernah duduk semeja dengan pemimpin negara, malah pernah juga temubual penjenayah, ibu yang kehilangan anak, mangsa tragedi banjir, dan keluarga mangsa kehilangan pesawat. Setiap satu, tak kira latar belakang, ada cerita sendiri yang menyentuh hati.
Daripada semua pertemuan itu, saya belajar bahawa semua orang, walaupun dari dunia berbeza, sebenarnya mengidamkan perkara yang sama—iaitu difahami, didengari, dan dihormati.
Ramai orang inginkan peluang untuk cerita kisah sebenar dari sudut mereka, bukan sekadar jadi mangsa persepsi atau anggapan umum.
Sebagai penulis atau pencipta konten, tanggungjawab kita ialah memberi ruang kepada semua suara, tanpa prejudis.
Bila jumpa duka, kita kena sensitif supaya tidak menambah beban pada mangsa atau keluarga. Bila jumpa cerita luar biasa, cari sudut kebaikan dan kekuatan yang boleh dijadikan contoh pada masyarakat.
Saya perasan, mesej damai paling berkesan bukanlah ayat-ayat terlalu indah, tapi konten yang jujur tentang pengalaman manusia. Kadang ringkas, kadang berat, tapi tujuannya satu: membantu orang lebih memahami hidup orang lain.
Malah dalam isu berat atau konflik sekalipun, kita boleh pilih untuk menulis dengan tenang, mengajak pembaca berfikir, bukan menambah marah atau curiga.
Akhirnya, setiap cerita yang dikongsi akan memberi kesan sama ada membina atau meruntuhkan. Gunakan peluang menulis supaya masyarakat dapat belajar simpati, membuka ruang maaf, dan membuang jauh budaya sebar kebencian yang sudah berleluasa dalam dunia online.