Dunia digital hari ini membolehkan sesiapa sahaja menjadi “pemberita” dengan hanya satu sentuhan di hujung jari.
Namun, tanpa etika dan disiplin, ledakan maklumat ini mudah bertukar menjadi bencana – fitnah, penyelewengan dan kekeliruan semakin membarah dalam masyarakat.
Inilah sebabnya kenapa menjaga etika dan memastikan sumber inspirasi sahih amat penting – sama ada untuk wartawan profesional, penulis blog, mahupun pemilik akaun media sosial biasa.
Etika dalam mencari dan menyampaikan maklumat bukan sekadar tuntutan undang-undang, malah menjadi asas kepada profesionalisme dan nilai kemanusiaan seorang pencipta konten.
Prinsip utama yang perlu dipegang ialah “Setiap berita harus disampaikan dengan amanah, objektif dan tanpa niat merosakkan mana-mana pihak.”
Dalam mana-mana agama pun, pencarian kebenaran menjadi ajaran utama. Islam misalnya, mengingatkan melalui ayat Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti...” (al-Hujurat: 6)
Di dunia sebenar, banyak tragedi timbul kerana sikap terburu-buru atau sekadar terikut dengan naratif viral.
Pernah tular sebuah gambar kononnya berlaku rusuhan, sedangkan hakikatnya hanyalah sekadar latihan keselamatan. Ada juga kisah inspirasi yang viral tetapi asal-usulnya tidak jelas, akhirnya yang tersebar hanyalah cerita dongeng semata.
Pengalaman peribadi juga banyak mengajar tentang pentingnya etika sumber. Sekitar tahun 2015, ketika media sosial di Malaysia dalam fasa “baru nak kenal”, Facebook muncul dengan pelbagai inovasi – boleh pos artikel panjang, buat live video, audio dan sebagainya.
Pada masa itu, boleh dikatakan majoriti pengguna seperti “terkejut beruk”, terpinga-pinga dan tercari-cari apa peranan sebenar mereka sebagai “warga digital”. Ramai belum faham kesan atau tanggungjawab apabila berkongsi sesuatu kepada ribuan orang.
Melihat fenomena ini, tercetuslah inisiatif ‘Wartawan Awam’. Misi utamanya: mendidik masyarakat supaya tidak hanya menjadi “penonton digital”, tetapi berani membuat, menyemak dan mempromosi konten positif.
Melalui kelas, bengkel dan perkongsian, ramai peserta akhirnya faham – setiap posting, setiap rakaman, setiap perkongsian harus diperiksa sumbernya dan dikongsi dengan niat membina, bukan merosakkan.
Maka, setiap penulis beretika wajib:
Etika beginilah yang akan membezakan antara penulis yang membawa impak positif dan mereka yang hanya menambah kekacauan. Menulis dengan sumber sahih adalah warisan jurnalis besar dunia – mereka yang percaya setiap tulisan adalah amanah, dan setiap inspirasi perlu sahih agar boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat.